Tuesday, 24 April 2012

MARI KITA CUBA DEKATI MEREKA..MARI

1.0      PENGENALAN
Kanak-kanak berkeperluan khas adalah merujuk kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan penjagaan yang berbeza berbanding dengan kanak-kanak normal. Menurut Jamila (2005), kanak-kanak khas berbeza dalam aspek ciri-ciri mental, keupayaan sensori atau deria, keupayaan komunikasi, tingkah laku sosial dan ciri-ciri fizikal. Oleh yang demikian kanak-kanak khas memerlukan modifikasi atau perubahan dalam aktiviti-aktiviti sekolah ataupun perkhidmatan pendidikan khas bertujuan mengembangkan potensi diri kanak-kanak khas ke tahap yang optimum dan tidak terabai seperti kanak-kanak normal.
Chua & Koh (1992) mendefinisikan kanak-kanak berkeperluan khas atau “kanak-kanak luar biasa” sebagai kanak-kanak yang mempunyai perbezaan yang nyata dari segi kecerdasan, kejasmanian, kemasyarakatan atau pun dari segi rasa hati. Manakala  Garciulo (2003) mendefinisikan kanak-kanak berkeperluan khas seperti kenyataan di bawah;
"Individuals who differ from societal or community standards of normalcy. These differences may be due to significant physical, sensory, kognitif, or behavioral characteristics. Many of these children may require educational programs customized to their unique needs."
Selain itu, Garciulo juga telah mengkategorikan kanak-kanak berkeperluan khas seperti berikut:
i.      Terencat akal.
ii.    Kurang upaya dalam pembelajaran.
iii.   Kecelaruan emosi atau tingkah laku
iv.   Pintar cerdas dan berbakat
v.    Masalah bahasa dan pertuturan
vi.   Masalah pendengaran
vii.  Masalah penglihatan
viii.Kecelaruan spektrum autism
ix.   Kurang upaya fizikal atau masalah kesihatan
Sheila & Samsilah (2006) mengkategorikan murid berkeperluan khas adalah kanak-kanak yang memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada murid biasa. Murid berkeperluan khas terbahagi kepada murid bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan bermasalah pembelajaran (Maklumat Pendidikan Khas 2003 dalam Sheila & Samsilah 2006).
Kesimpulan yang dapat menerangkan tentang kanak-kanak berkeperluan khas adalah golongan kanak-kanak yang menghadapi ketidakupayaan yang serius sehingga memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan normal  dan pembelajaran serta perkembangan kognitif mereka (Abd. Rahim  2006).

2.0      KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS
Terdapat pelbagai kategori kanak-kanak berkeperluan khas dan golongan kanak-kanak istimewa ini mestilah dikenal pasti ketidakupayaan mereka bagi memenuhi keperluan perkembangan intelek, emosi, rohani dan jasmani berdasarkan  kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan (Abu Bakar & Ikhsan 2003). Berikut adalah kategori-kategori kanak-kanak berkeperluan khas:


1.1         Masalah Penglihatan
Definisi yang dikemukakan oleh The World Council for the Welfare of the Blind dalam Hajah Hasnah (1988) tentang masalah penglihatan adalah seperti berikut:
      i.        Tidak dapat melihat langsung.
    ii.        Kebolehan melihat tidak lebih daripada 6/60 atau 20/200 iaitu dengan Ujian Snellen.
   iii.        Penglihatan yang terhad iaitu kurang daripada 20 peratus.
2.1.1   Tahap Kecacatan
Terdapat beberapa tahap masalah penglihatan yang membezakan antara buta dengan penglihatan terhad ataupun low vision berdasarkan ujian visual acuity dan juga adaptasi pendidikan khas. Masalah penglihatan dapat dilihat dalam tahap berikut:
1.    Sederhana
Masalah pada tahap sederhana masih membolehkan kanak-kanak melihat cahaya dan menjalankan aktiviti melibatkan deria penglihatan dengan menggunakan alat bantu khas seperti kanta.
2.    Teruk
Masalah pada tahap teruk menyebabkan kanak-kanak mungkin memerlukan lebih banyak masa dan tenaga dalam menjalankan aktiviti malam mengalami kesukaran melakukan aktiviti berkaitan penglihatan termasuk mobiliti, walaupun dengan bantuan khas.
3.    Sangat teruk
Masalah pada tahap sangat teruk mengakibatkan kanak-kanak menghadapi kesukaran melakukan aktiviti visual seperti membaca dan mobiliti serta perlu bergantung kepada deria-deria lain.
2.1.2   Tingkah laku masalah penglihatan
  1. Selalu memusingkan kepala ke sebelah sahaja, misalnya untuk melihat papan tulis ataupun objek.
  2. Selalu mengerutkan ataupun mengecilkan mata.
  3. Kerap bercakap.
  4. Kerap menggosok mata.
  5. Selalu menutup sebelah mata.
  6. Selalu terlanggar objek.
  7. Keliru dengan huruf.
  8. Menonton televisyen ataupun membaca buku dengan jarak yang terlalu dekat.
  9. Memegang kepala dengan cara luar biasa.
  10. Kerap menangis
  11. Memegang buku ataupun bahan bacaan terlalu dekat dengan muka ataupun paa sudut berlainan.
  12. Sering mencari-cari ayat yang dibaca.
  13. Meniru kerja kawan.
  14. Tidak menyiapkan tugasan yang diberi.
  15. Selalu mengelak membuat sebarang tugasan yang diberi.
Disebabkan kekurangan yang mereka ada, timbul perasaan kurang keyakinan diri dan sering menyisihkan diri tetapi ianya boleh diatasi dengan memberi layanan yang baik kepada mereka (bukan bermaksud layanan yang istimewa sehingga mereka rasa berbeza dengan orang normal) (Jamila 2005).


1.2         Masalah Pendengaran
Mohd. Salleh (1999) mendefinisikan kecacatan pengendaran sebagai golongan manusia yang tidak dapat berkomunikasi dan bergaul dengan orang ramai kerana rosak pendengaran. Menurut Hasnah (1988) dalam Mohd. Salleh (1999), caca pendengaran dibahagikan kepada dua jenis iaitu:
                      i.        Cacat Bahagian Penerimaan ( Conductive Deafness)
Kecacatan disebabkan telinga tersumbat, luka pada gegendang telinga atau tidak ada lubang telinga.

                    ii.        Cacat Bahagian Tanggapan ( Perceptive Deafness)
Kecacatan terjadi disebabkan oleh masalah saraf pendengaran pada bahagian organ dalam telinga.

Tanda-tanda yang menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran adalah kurang memberi perhatian di dalam kelas, kelihatan selalu berkhayal, percakapannya tidak jelas, terkejut apabila dihampiri daripada belakang, tidak memahami arahan yang diberikan dan pencapaian yang lemah terutamanya berkaitan dengan bahasa.
Perkembangan kognitifnya adalah agak lambat disebabkan oleh kelambatan perkembangan bahasa. Bagi perkembangan sosial pula, ia bergantung kepada pengalaman mereka, cara layanan yang diterima dan melalui kebolehan perkembangan mereka sendiri.
2.2.1   Jenis Masalah Pendengaran
Menurut Jamilah (2005) terdapat dua kategori masalah pendengaran iaitu kurang pendengaran dan pekak.
1.    Kurang pendengaran

a)    Ringan (mild)
                              i.        Tahap kehilangan pendengaran antara 27 hingga 40 dB
                            ii.        Memahami perbualan
                           iii.        Mengalami kesulitan mendengar bunyi-bunyi yang perlahan dan jauh
                           iv.        Memerlukan terapi pertuturan

b)    Sederhana (moderate)
                              i.        Tahap kehilangan pendengaran antara 41 hingga 55 dB
                            ii.        Dapat mendengar bunyi setakat 1 hingga 1.5 meter daripadanya
                           iii.        Memahami perbualan
                           iv.        Sukar melibatkan diri dalam perbincangan secara kelas
                            v.        Memerlukan alat bantu dengar
                           vi.        Memerlukan terapi pertuturan

c)    Sederhana teruk (moderate severe)
                              i.        Tahap kehilangan pendengaran antara 56 hingga 70 dB
                            ii.        Memerlukan alat bantu dengar, latihan pendengaran
                           iii.        Memerlukan latihan pertuturan dan komunikasi
                           iv.        Orang yang ingin berhubung dengan mereka perlu bercakap dengan kuat
                            v.        Pertuturan kanak-kanak kategori ini mungkin tidak sempurna kerana pengalaman pendengarannya yang terhad

2.    Pekak
a)    Teruk (severe)
                              i.        Tahap kehilangan pendengaran antara 71 hingga 90 dB
                            ii.        Dapat mendengar bunyi yang kuat pada jarak sifar hingga 30.5 sentimeter daripadanya
                           iii.        Mungkin dapat membezakan sesetengah bunyi sahaja
                           iv.        Menghadapi masalah dalam pertuturan
                            v.        Memerlukan pendidikan khas, alat bantu dengar dan latihan pertuturan dan komunikasi

b)    Sangat teruk (profund)
                              i.        Tahap kehilangan pendengaran lebih daripada 90 dB
                            ii.        Sukar untuk mendengar walaupun bunyi yang kuat
                           iii.        Memerlukan alat bantu pendengaran dan terapi pertuturan

1.3         Masalah Emosi-Hiperaktif
 Menurut Jamilah (2005), hiperaktif adalah istilah yang digunakan untuk kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang terlampau aktif dan mengganggu tetapi mempunyai tumpuan yang singkat. Sandra (2008) menjelaskan terdapat dua jenis masalah kanak-kanak kurang tumpuan iaitu Attention Deficit Disorder (ADD) atau masalah kurang tumpuan tanpa hiperaktif dan Attention Deficit Hiperactivity Disorder (ADHD) atau masalah kurang tumuan dengan hiperaktif. Menurut Sandra lagi masalah ADD atau ADHD adalah bersifat fisiologi dan biologi. Bagi Sheila & Samsilah (2006), ADHD adalah satu keadaan diaman kanak-kanak yang mengalaminya mempunyai masalah tingkah laku yang terlampau aktif dan impulsif.
Sandra (2008) menyatakan ciri-ciri tingkah laku masalah kurang tumpuan tanpa hiperaktif (ADD) adalah seperti berikut:
                      i.        Mudah terganggu oleh rangsangan luaran .
                    ii.        Sukar mendengar dan mematuhi arahan.
                   iii.        Sukar memberi tumpuan dan perhatian.
                   iv.        Sukar mengekalkan tumpuan dan melaksanakan tugasan.
                    v.        Keupayaan membuat kerja sekolah yang tidak lengkap.
                   vi.        Tidak terurus.
                  vii.        Kemahiran belajar yang lemah.
                viii.        Sukar untuk berdikari.
Manakala ciri-ciri tingkah laku masalah kurang tumpuan dengan hiperaktif (ADHD) menurut Sandra (2008) adalah seperti berikut:
              i.      Tahap aktiviti tinggi
            ii.      Cenderung mengikut gerak hati dan kurang kawalan diri.
           iii.      Kesukaran melalui aktiviti peralihan atau perubahan.
           iv.      Tingkah laku yang agresif dan terlampau mudah terangsang.
            v.      Tidak matang dari segi sosial.
           vi.      Rendah keyakinan diri dan mudah kecewa.
Kanak-kanak adalah adalah normal pada zaman kanak-kanak sehingga ke tahap tertentu pada tahap perkembangan yang berbeza. Walau bagaimanapun, kanak-kanak bermasalah ADD atau ADHD apabila kanak-kanak itu menunjukkan pelbagai tingkah laku yang bermasalah yang tidak sesuai dengan perkembangannya berbanding kanak-kanak lain pada usia yag sama (Sandra 2008).
Menurut Persatuan Psikologi Amerika (APA) mendefinisikan ADHD sebagai kecelaruan psikologi dengan petanda-petandanya yang dapat dikesan pada umur tujuh tahun dan dikategorikan kepada 3 iaitu;
·         ADHD Kurang Tumpuan
                      i.        Mereka mungkin kerap mengelamun di dalam kelas,kerap pelupa dan kerja tidak teratur

·         ADHD Hiperaktif-impulsif
                      i.        Hiperaktif menunjukkan jumlah pergerakan yang sangat tinggi
                    ii.        Impulsif iaitu melakukan sesuatu tanpa berfikir

·         ADHD Gabungan
                      i.        Menunjukkan kedua-dua ciri diatas iaitu kurang tumpuan, hiperaktif dan impulsive
Ciri-ciri tingkah laku kanak-kanak ADHD adalah berbeza dan pada kebiasaannya ADHD hiperaktif-impulsif mempunyai masalah tingkah laku yang lebih jelas daripada ADHD impulsive. Kanak-kanak ini lebih agresif contohnya mereka kerap memulakan sesuatu pergaduhan, kerap membuat kesalahan akibat kecuaian, gagal menyiapkan kerja sekolah, tidak mahu mendengar apabila bercakap dengannya, sukar mengatur tugasan,tidak suka dan enggan melakukan tugasan.
Ciri-ciri sosial kanak-kanak ini lebih tertumpu kepada penghargaan kendiri di mana penghargaan kendiri positif atau negative bergantung kepada keadaan persekitaran yang mereka terima dan mereka mudah menyesuaikan diri mengikut tuntutan sosial (Jamila 2005).

1.4         Masalah Fizikal Dan Kesihatan - Palsi Selebral
Terdapat 4 kategori palsi selebral iaitu Palsi Selebral spastik, palsi selebral athetiod, palsi selebral ataxia dan palsi serebral gabungan. Ciri-ciri fizikal pada kanak-kanak palsi selebral spastic ialah masalah ketegangan pada otot-otot tertentu seperti tangan dan kaki. Ketegangan otot ini akan menyebabkan pergerakan otot tersebut menjadi terhad atau tidak berkodinasi. Contohnya jika ketegangan otot berlaku pada kaki, pergerakan permulaan berjalan seakan tersekat-sekat dan diikuti dengan satu lonjakan tenaga menyebabkan pergerakannya kurang terkawal.
Bagi palsio selebral athetiod pula, mereka mempunyai anggota yang lebih meliuk dan tidak terkawal. Manakala bagi palsi serebral ataxia pula, imbangan badan mereka adalah tidak baik di samping pergerakan badan yang tidak berkodinasi.
Palsi serebral gabungan pula adalah mereka yang mengalami lebih daripada satu jenis palsi selebral pada satu-satu masa. Masalah yang dihadapi olehnya adalah otot-ototnya kejang, tidak berkodinasi dan juga meliuk.
Masalah sosial yang dihadapi oleh golongan ini adalah dalam menyesuaikan diri di dalam masyarakat. Disebabkan mereka tidak dapat bertutur dengan baik, mereka berasa rendah diri dan ini akan menjejaskan hubungan mereka dengan persekitaran. Sebab lain yang menyebabkan kanak-kanak ini rendah diri adalah sikap ibu bapa yang terlalu member perhatian dan perlindungan yang melampau menyebabkan kanak-kanak ini langsung tidak diberi peluang untuk mempelajari kemahiran asas bagi penjagaan diri sendiri.
1.5         Masalah Mental
i)             Terencat akal
Masalah terencat akal menjadi satu isu yang perlu ditangani kerana murid yang mengalami masalah ini lambat menerima pengajaran di sekolah. Punca seseorang anak itu terencat akal boleh dikaitkan dengan faktor biologi (baka) dan persekitaran. Faktor baka banyak mempengaruhi prestasi intelek seseorang kanak-kanak berbanding dengan faktor persekitaran.
Kanak-kanak ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang sama seperti kanak-kanak normal iaitu daripada segi pertumbuhan bahagian-bahagian badan walau bagaimanapun terdapat kekurangan dalam menggunakan motor halus. Kanak-kanak ini lambat menguasai kemahiran motor halus. Oleh itu, ibu bapa atau guru perlulah memantau perkembangan motor halus mereka.
Kanak-kanak ini sering mempamerkan kepayahan untuk memberi tumpuan atau fokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, sukar menyiapkan tugasan dan mudah membuat kesalahan disebabkan kecuaian. Mereka juga sering menunjukkan tingkah laku yang sering mengganggu rakan.
Di dalam hubungan sosial dengan rakan-rakan, mereka kurang diterima oleh rakan kerana tidak pandai menyesuaikan diri, kurang matang dan mempunyai masalah dalam menguasai klu-klu sosial yang halus sehingga mereka kerap menyalah tafsir aksi-aksi murid lain. Tingkah laku yang lain adalah menarik rambut, menggigit kuku, tabiat suka mencederakan diri dan meminta ganjaran apabila diminta untuk melakukan sesuatu contohnya jika enggan melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru akan memberikan sesuatu yang disukai murid untuk memujuknya mengikuti aktiviti (Jamila 2005).
ii)             Sindrom down
Ciri-ciri fizikal kanak-kanak ini adalah mata condong ke bawah atau ke atas, belahan kelopak mata pendek dan terdapat lapisan kulit di dalam mata, bentuk muka leper, kepala lebih kecil daripada kebiasaan dan bahagian belakang .kepala rata, telinganya kecil dan berkedudukan rendah, mulut kelihatan kecil dan bibir nipis, bentuk leher lebih pendek, kaki dan tangan pendek, tapak kaki lebar dan jari kaki pendek, mempunyai masalah jantung dan lain-lain lagi.
Daripada segi emosi, kanak-kanak ini dilabelkan sebagai terencat akal sama ada ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk. Kanak-kanak Sindrom Down Ringan masih boleh dididik. Menangis merupakan isyarat utama kanak-kanak ini dan mempunyai masalah pendengaran.
Kanak-kanak Sindron Down merupakan kanak-kanak yang manja dan memerlukan perhatian seperti suka dipeluk. Kadangkala mereka mempunyai masalah yang lain iaitu hiperaktif dan masalah tumpuan singkat (Jamila 2005).
1.6         Autism
Menurut Sheila & Samsilah (2006) autism merujuk kepada kecacatan bersosial di mana kanak-kanak yang mengalami autism tidak mempunyai kemahiran berhubung, berkomunikasi dan bersosial dengan orang lain seperti murid normal. Emosi kanak-kanak sangat sukar diramal dan berubah-ubah. Di antaranya adalah (Jamila 2005) :
i.        Sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab mengamuk tanpa terkawal jika tidak dituruti kemahuannya ataupun dilarang daripada melakukan sesuatu yang diingininya.
ii.        Merosakkan apa saja yang ada di sekitarnya jika emosinya terganggu.
iii.        Menyerang sesiapa sahaja berhampirannya jika emosinya terganggu.
iv.        Ada kalanya mencederakan diri sendiri dan
v.        Tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain.
2.6.1  Tingkah Laku
i.        Sama ada hiperaktif ataupun hipoaktif.
ii.        Melakukan perbuatan ataupun gerakan yang sama dan berulang-ulang seperti bergoyang-goyang, mengepak-ngepak tangan dan menepuk-nepuk tangan, berputar-putar, mendekatkan mata ke televisyen, berlari atau berjalan mundar-mandir.
iii.        Tidak suka pada perubahan (daripada apa yang sedang dilakukannya) dan
iv.        Dapat duduk dengan lama tanpa berbuat apa-apa dan tanpa sebarang reaksi. 
2.6.2   Interaksi sosial
Interaksi sosial kanak-kanak autisme dapat digolongkan sebagai sangat sukar dan ekstrem :
i.        Suka bersendirian.
ii.        Tiada kontak mata dan sentiasa mengelak daripada memandang orang lain.
iii.        Tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan.
iv.        Suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut.
1.7         Masalah Pembelajaran
            Menurut Mohd. Sharani (2004) masalah kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran adalah kanak-kanak yang mempunyai masalah neurologi hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.
2.7.1  Lembam (Slow Learner)
Kanak-kanak lembam dikenali sebagai kanak-kanak yang memerlukan pendidikan kelas pemulihan. Selalunya kanak-kanak ini dikenal pasti pada peringkat awal setelah mendapati tidak dapat menguasai kemahiran membaca menulis dan mengira dalam pendidikan. Walau bagaimanapun adalah sukar untuk menyediakan garis pemisah yang jelas di peringkat awal perkembangan kanak-kanak antara kanak-kanak normal dengan kanak-kanak lembam kerana permasalahan mereka tidak begitu ketara. Hanya selepas mereka memasuki alam persekolahan permasalahan mereka dapat dikesan (Jamila 2005).
Menurut Messe (2001) dalam modul Universiti Terbuka Malaysia, keupayaan intelektual kanak-kanak ini berada tahap sederhana iaitu pada tahap 85 atau lebih di dalam skor ujian saringan kecerdasan. Mereka juga mempunyai masalah dalam memberi perhatian, mengumpul atau memproses maklumat yang diterima di dalam ingatan mereka. Di samping itu, kanak-kanak lembam mudah hilang tumpuan, mudah membuat kesalahan akibat kecuaian, sukar untuk menyiapkan tugasan dan kepayahan membuat tugasan yang berturutan. Di dalam mata pelajaran matematik, mereka menunjukkan kesukaran dalam mengingati simbol-simbol yang digunakan dan mengingati turutan proses dalam penyelesaian matematik (Jamila 2005).
Disebabkan masalah kurang tumpuan, sukar memproses maklumat, sukar menyiapkan tugasan dan lain-lain lagi menyebabkan mereka mempunyai masalah sosial-emosi. Tingkah laku kanak-kanak lembam sering mengganggu rakan-rakan.
 2.7.2  Disleksia
            Definisi terkini disleksia adalah sebagai suatu masalah kognitif ( Thomson 1984 dalam Sheila & Samsilah 2006) Mohd. Sharani (2004) menjelaskan maksud dyslexia adalah kanak-kanak yang tidak dapat membaca kerana tidak dapat menterjemahkan dengan betul lambang-lambang bertulis sama ada dalam huruf itu sendiri, dalam suku kata ataupun dalam perkataan-perkataan.
            Secara literalnya, disleksia bermaksud, “kesukaran dalam berbahasa” (Ott 1997 dalam Sheila & Samsilah 2006).  Definisi operasional disleksia yang pertama dikeluarkan oleh World Federation of Neurology  (1968) dalam Sheila & Samsilah (2006) adalah seperti berikut:
“Suatu kecelaruan pada kanak-kanak di mana, meskipun mereka melalui pengalaman bilik darjah konvensional, gagal mengusai kemahiran bahasa seperti membaca, menulis dan mengeja yang selaras dengan kemampuan intelektual mereka.”
 Kanak-kanak disleksia tidak dapat mengimbangi daya mengingati huruf dengan perkataan dan menghadapi masalah dalam mengingati bentuk huruf, bunyi huruf dan gabungan perkataan. Antara huruf-huruf yang sering mendatangkan masalah kepada mereka ialah huruf b dan d, dan perkataan yang hampir serupa ejaannya. 
            Kanak-kanak disleksia adalah lebih lambat perkembangannya berbanding rakan yang sebaya daripada segi umur kronologikal seperti seorang kanak-kanak disleksia berusia tujuh tahun sering berkelakuan seperti kanak-kanak  berusia dua ataupun tiga tahun yang mementingkan diri ( Cronin 1997: ms 111 dalam Sheila & Samsilah 2006).
Perkembangan fizikal, mereka tidak berminat dalam pelajaran dan selalu dilabelkan sebagai pemalas dan bodoh. Pakaian yang dipakai sentiasa bersih tetapi tidak kemas dan butang baju sentiasa salah butang. Mereka juga mempunyai daya pengamatan. pendengaran dan penglihatan yang lemah. Kekeliruan juga timbul di mana mereka sukar untuk membezakan kiri dan kanan.
Pengamatan dan tingkah laku:
  1. Keliru dengan konsep arah
  2. Keliru dalam konsep masa
  3. Kerap terasa tertekan
  4. Keliru memakai kasut pada kaki yang betul
  5. Konsep kendiri yang rendah
2.7.2.1            Jenis-jenis disleksia
Disleksia dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:
1.    Disleksia visual
Disleksia visual berkaitan dengan masalah kanak-kanak dalam menggunakan deria penglihatan. Walaupun kanak-kanak itu dapat melihat dengan baik tetapi ia tidak dapat membezakan apa yang dilihat ataupun mengintepretasi serta mengingatinya.

2.    Disleksia auditori
Disleksia auditori berkaitan dengan masalah kanak-kanak dalam menggunakan deria pendengaran. Walaupun kanak-kanak itu dapat mendengar tetapi ia mengalami kesukaran dalam mendiskriminasikan bunyi, membezakan persamaan dan perbezaan antara bunyi, mengenalpasti bunyi bagi perkataan ataupun membahagikan perkataan dalam suku kata.

3.    Disleksia visual-auditori
Kanak-kanak dalam kategori ini berada pada tahap yang agak teruk kerana kedua-dua deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat membantunya mengintepretasi apa yang dilihat dan didengar (Jamila 2005). 
1.8         Pintar Cerdas dan Berbakat
Menurut Jamila (2005), Kanak-kanak pintar cerdas adalah kanak-kanak yang mempunyai kemampuan yang tinggi di dalam akademik. Mereka sering dianggap sebagai murid yang nakal kerana tidak memberi perhatian di dalam kelas sedangkan mereka sebenarnya memahami dan telah menguasai pengajaran guru. Chua & Koh (1992) mendefinisikan kanak-kanak pintar cerdas sebagai kanak-kanak yang menunjukkan atau potensi kebolehan dalaman:
                      i.        Kegiatan intelek seperti kreativiti, pemikiran abstrak, kemahiran lisan, pemikiran logik dan ingatan baik.
                    ii.        Bakat-bakat khas dalam bidang-bidang seperti sains, matematik, kepimpinan perhubungan manusia, seni lukis, muzik, penulisan dan drama.
Menurut Ross (1993) dalam modul Universiti Terbuka Malaysia, definisi kanak-kanak pintar cerdas adalah kanak-kanak dikenal pasti semasa prasekolah, sekolah rendah atau menengah menunjukkan bakat atau potensi yang cemerlang dalam pencapaian akademik berbanding kanak-kanak yang sebaya dengan mereka. Mereka juga menunjukkan prestasi yang tinggi dari segi intelek, seni dan mempunyai kepimpinan yang luar biasa
Perkembangan kanak-kanak cerdas pintar ini menunjukkan ciri-ciri luar biasa pada umur yang sangat muda berbanding kanak-kanak biasa. Perkembangan kognitif mereka tinggi dan dapat dikesan semenjak berumur satu tahun dan menunjukkan perkembangan dalam domain yang luas. Mereka memperoleh maklumat dengan menyimpan maklumat dengan cepat dan dengan cekap mengingati semula maklumat. Kanak-kanak ini boleh merancang, memantau dan menilai menggunakan pemikiran advance pada umur yang muda berbanding kanak-kanak lain.
Dari segi emosi, mereka sangat matang berbanding kanak-kanak lain, mudah kecewa dan menghina rasa takut pada usia yang muda serta terlalu sensitif.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...