Monday, 9 July 2012

JENIS-JENIS TINGKAH LAKU BERMASALAH

Secara umumnya,  tingkah laku bermasalah  dapat dikategorikan kepada tingkah laku bermasalah  positif dan tingkah laku bermasalah negatif.
Tingkah laku bermasalah positif
Tingkah laku bermasalah positif bermaksud tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tetapi tingkah laku itu akan menjadi bermasalah sekiranya dilakukan secara berlebihan atau tanpa kawalan dan boleh menimbulkan masalah kepadanya. Misalnya, sifat ingin tahu yang berlebihan kepada seorang kanak-kanak boleh  menyebabkannya bertindak keterlaluan sehingga menyusahkan dirinya dan orang lain.
Tingkah laku bermasalah negatif
Tingkah laku bermasalah negatif adalah jelas iaitu tingkah laku yang menimbulkan masalah kepada dirinya dan juga orang lain. Beberapa contoh tingkah laku bermasalah  negatif adalah seperti berikut:
i.  Tingkah laku Disruptif/mengganggu
Perlakuan sentiasa mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Tingkah laku ini juga berlaku di luar kelas dan juga di rumah.
ii.  Pergantungan berlebihan
Kanak-kanak yang sangat bergantung kepada orang lain, tidak dapat berdikari, dan tidak berupaya membuat keputusan sendiri.
iii.  Agresif
Tingkah laku agesif adalah seperti suka memulakan pergaduhan, suka bergaduh, suka memaki hamun, dan sebagainya.

iv.  Distruktif/merosakkan
Perlakuan yang suka merosakkan benda seperti kerusi meja, barangan kawan sekelas, mengoyak poster atau notis di papan kenyataan dan sebagainya.
v.  Kebimbangan
Perasaan kurang senang atau takut  akibat anggapan bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.  Keadaan ini akibat daripada pengalaman emosi yang tidak menggembirakan yang dialami oleh seseorang .
vi. Pengasingan diri
Suka menjauhkan diri daripada orang lain yang kurang disenangi.  Tingkah laku ini juga dijadikan sebagai mekanisme helah bela diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain.
vii.  Ponteng sekolah
Perlakuan yang sengaja dibuat iaitu tidak hadir ke sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa  dengan membuang masa di tempat lain seperti pusat membeli belah atau taman permainan.
viii.  Enggan ke sekolah 
Enggan ke sekolah akibat daripada perasaan fobia terhadap sekolah.  Kanak-kanak ini berasa  bimbang untuk berpisah dengan keluarga dan bimbang meninggalkan kawasan rumahnya.
ix.  Mencuri
Mengambil hak orang lain tanpa  kebenaran tuannya.  Tabiat mencuri barang rakan sekelas akan menyebabkan pertengkaran, pergaduhan, dan dipulaukan oleh rakan sekelas.

Punca salah laku
Tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berpunca daripada faktor-faktor tertentu.   Guru perlu memahami faktor-faktor yang menjadi punca masalah tingkah laku muridnya supaya menjadi panduan dalam merangka program pengurusan tingkah laku bagi murid tersebut.  Roger Stancliffe (tidak bertarikh) telah menyenaraikan 9 faktor yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku kanak-kanak.
  1. persekitaran
  1. tekanan psikologikal
  1. ketakutan dan fobia
  1. peneguhan yang kurang sesuai
  1. kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad
  1. kesukaran tugasan
  1. aktiviti dan tahap rangsangan
  1. kesihatan dan  perubatan
  1. jangkaan tingkah laku

Faktor persekitaranSesetengah kanak-kanak sangat sensitif terhadap persekitaran seperti  bunyi bising, sejuk, panas, dan lain-lain.  Perubahan tingkah laku akan ditunjukkan terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami kecacatan teruk, autisme, dan lain-lain.
Tekanan psikologiIndividu yang mengalami masalah tingkah laku obsesif dan tingkah laku yang sudah menjadi tabiatnya akan berasa  senang dengan tingkah laku tersebut.  Mereka akan berasa tertekan apabila kebiasaan tingkah laku itu diganggu atau dihalang.
Ketakutan dan fobiaFobia adalah ketakutan yang keterlaluan terhadap sesuatu.  Fobia termasuk juga takut terhadap sesuatu yang berbahaya seperti ular atau ketinggian yang melebihi tahap bahaya  sebenar perkara tersebut. Ketakutan ini boleh  menyebabkan bahaya kepada individu tersebut  seperti berlari melintas jalan raya kerana takutkan anjing.
Peneguhan yang kurang sesuaiTingkah laku bermasalah ada kalanya dikukuhkan secara tidak sengaja.  Tindak balas semula jadi kita secara serta merta terhadap tingkah laku tertentu ada kalanya menjadikan tingkah laku itu lebih teruk.  Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang enggan makan ubat akan dipujuk serta dijanjikan  dengan beberapa ganjaran oleh ibu dan bapanya.  Oleh itu, kanak-kanak itu akan sengaja enggan makan ubat kerana mahukan perhatian daripada ibu bapanya.

Kemahiran komunikasi dan sosial yang terhadTerdapat bukti yang jelas menunjukkan bahawa  kadar tingkah laku bermasalah yang tinggi di kalangan kanak-kanak yang  kurang berkomunikasi berbanding kanak-kanak yang boleh berkomunikasi dengan baik.


Kesukaran tugasanKesukaran tugasan boleh menyebabkan kanak-kanak  melakukan kesilapan  dan mengalami kegagalan.  Keadaan kekecewaan ini  berkait rapat dengan  masalah tingkah laku yang mereka tunjukkan.
Aktiviti dan tahap rangsanganKekurangan aktiviti yang membina akan menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku.  Sebagai contoh, guru bukan hanya setakat memberi mainan atau buku kepada muridnya tetapi perlu mengajar murid  tersebut kemahiran yang perlu untuk melakukan aktiviti tersebut.
Kesihatan dan perubatanKesakitan atau keadaan tertekan yang berkaitan dengan keadaan kesihatan tertentu boleh menyebabkan rasa kurang selesa dan boleh menyebabkannya berkelakuan kurang sesuai.
Jangkaan tingkah lakuAda kalanya ibu bapa atau guru menjadi letih dengan tingkah laku kanak-kanak-kanak dan membiarkannya berkelakuan sedemikian  dengan anggapan bahawa  tingkah laku itu akan hilang dengan sendirinya.  Jangkaan terhadap tingkah laku kanak-kanak tersebut adalah rendah  daripada yang sepatutnya.  Sebenarnya mereka ini terperangkap dengan anggapan bahawa itulah sifat kanak-kanak tersebut dan tidak boleh diubah lagi (the way he/she is).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...