Cara yang bernas untuk mengekalkan
perpaduan negara agar peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang lagi adalah
dengan meningkatkan penghayatan Rukun
Negara. Selepas peristiwa tersebut bagi mengelakkan peristiwa tersebut
berulang Tun Abdul Razak Perdana Menteri yang kedua ketika itu telah
memperkenalkan Rukun Negara. Pihak yang bertanggungjawab merangka Rukun Negara
ialah Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan Tun Abdul Razak
yang selepas itu menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua. Dengan adanya Rukun
Negara, masyarakat yang sedang berpecah-belah ketika itu ekoran perselisihan
kaum mampu bersatu-padu dan membina semula negara sehingga ke tahap hari ini. Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan
Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu
setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan
ketenteraman negara. Terdapat lima prinsip dalam Rukun Negara tersebut.
Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran
Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Cuba
kita hayati apakah maksud sebenar yang terselit disebalik Rukun Negara
tersebut.
Pertama, prinsip Kepercayaan kepada
Tuhan. Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan
prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau
ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis
tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama telah menjadi
unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.
Di dalam Perlembagaan Persekutuan
sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan
atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Prinsip Kepercayaan kepada
Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang
boleh membangun “pemikiran luhur” dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat
membina jati diri yang padu.
Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya
menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan
agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya
mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan
bertolak ansur atau saling bertoleransi.
Kedua, prinsip Kesetiaan kepada Raja
dan Negara. Di negara kita, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat.
Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja
berpelembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut
bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah
ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian
daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.
Justeru, prinsip kesetiaan dan
ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal
kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan
sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di
peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja
yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia
kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu
membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja
adalah “payung negara” yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru,
institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh
atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.
Ketiga, prinsip Keluhuran
perlembagaan. Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan.
Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang
atau perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada
kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca
kepada semua undang-undang seperti yang
disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan menjadi asas penting
untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan
atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi
jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua
kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan
ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa menentukan
kesahihan sesuatu undang-undang.
Keempat, prinsip Kedaulatan
undang-undang. Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan
mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru,
kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang
berjalan dengan lancar. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya
di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun
kedudukan (status sosial).
Oleh itu, keadilan merupakan elemen
penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.Kuasa kedaulatan dalam
konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundagan ynag paling
tinggi iaitu Perlembagaan Negara. Badan untuk menegakkan kedaulatan
undang-undang pula dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan
berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.
Namun, kebebasan asasi tidak bermakna
kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan
Perlembagaan Negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan
Negera apabila ada pihak yang mahu
menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara
yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertaian
kebebasan dan hak asasi. Didalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan
jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan
yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.
Kelima, Kesopanan dan kesusilaan.
Prinsip ini mempunyai kaitan yang rapat
dengan perkembangan dan pembangunan
personaliti individu yang seharusnya
dibina sejak kecil lagi. Prinsip ini juga berkait rapat dengan nilai-nilai
moral dan akhlak masyarakat. Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh
masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang
sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian
bangsa dan nilai-nilai murni.
Kehidupan yang bersusila dan bersopan
santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Dalam konteks ini, setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain
dengan mengawal diri daripada
membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan
kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan
agam yang dianutinya.
Kerajaan amat prihatin untuk membentuk
masyarakat yang bersopan santun,
berdisiplin dan bermoral tinggi. Justeru, kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni
yang dianjurkan kerajaan adalah
bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat
yang memiliki sifa-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling
memahami dan cintakan kedamaian. Ia selari dengan prinsip kelima Rukun negara
itu.
Kesimpulan, Rukun Negara harus dilihat
sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan
dan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Objektif dan prinsip yang
terkandung dalam Rukun Negara itu masih releven untuk membentuk jati diri dan
keperibadian rakyat.Apa yang perlu ialah penghayatan terhadap Rukun Negara
mesti disemarakkan kembali melalui gagasan 1Malaysia sebagaimana yang
disarankan oleh kerajaan.
Cara yang kedua, menghormati Perlembagaan Negara. Perlembagaan negara Malaysia ini
berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berkuatkuasa 31 Ogos
1957, dan digubal oleh Suruhanjaya Reid. Antara lain ia menyebut tentang
pembentukan kerajaan pusat yang kuat dan berkuasa ke atas negeri-negeri,
kedudukan raja-raja Melayu, memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong daripada
kalangan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, wujudkan satu rupa
bangsa, menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan lain-lain.
Antara aspek-aspek utama dalam
Perlembagaan Negara Malaysia yang dirangkumi oleh prinsip ketiga ini adalah
berkaitan dengan kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja Melayu, dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Sementara itu Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu di Semenanjung dan Hak
Keistimewaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga terkandung di dalam
Perlembagaan Negara Malaysia.
Walau bagaimanapun, hak-hak yang adil
bagi kaum bukan Bumiputera tetap juga diberikan. Antaranya, pemberian taraf
kewarganegaraan Malaysia kepada mereka yang layak, sebagaimana yang termaktub
di dalam Perlembagaan Negara itu sendiri. Walaupun bahasa Melayu dijadikan
bahasa rasmi, namun perkembangan bahasa-bahasa lain adalah tidak dihalang, atau
disekat. Malah bahasa Inggeris sendiri dijadikan bahasa kedua Malaysia.
Begitu juga halnya dengan agama Islam,
walaupun secara rasminya telah menjadi agama utama, namun orang bukan Islam
juga bebas untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka, mengikut kepercayaan
agama masing-masing. Manakala hak asasi rakyat juga dijamin dan dilindungi oleh
Perlembagaan Negara Malaysia ini. Pendeknya, tiada sesiapa pun, atau mana-mana
pihak yang boleh menggangu-gugat hak asasi rakyat di negara ini.
Sebagai undang-undang yang tertinggi
sifatnya, maka Perlembagaan Negara Malaysia mestilah dihormati, dijunjung
tinggi, dan dimuliakan. Sesungguhnya, kalau Keluhuran Perlembagaan negara
Malaysia ini tercemar, bererti satu penghinaan kepada bangsa dan negara sudah
berlaku. Justeru itu, kestabilan negara juga akan tergugat sekiranya rakyat
tidak menerima dan menghormati keluruhan Perlembagaan Negara Malaysia ini.
Apa yang lebih mendukacitakan kita
lagi andainya terdapat sebilangan rakyat negara ini yang terus mempersoalkan
dan mengkritik Perlembagaan Negara Malaysia ini tanpa mengetahui langsung
asal-usul dan sejarah penggubalannya. Justeru itu, menyanjung, menjunjung
tinggi, dan mendaulat serta mempertahankan Perlembagaan Negara Malaysia adalah
satu tanggungjawab yang mulia dan terpuji bagi setiap warganegara Malaysia,
tidak kira bangsa, keturunan, agama, dan kebudayaannya.
Kestabilan negara menjadi pedoman
kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, ke arah pembentukan perpaduan
nasional. Ketiga-tiga prinsip ini jelas kelihatan bertujuan supaya rakyat
Malaysia bersatu-padu di bawah satu negara yang mempunyai perpaduan kukuh,
sehingga sukar diganggu-gugat oleh apa juga anasir negatif yang cuba
memecah-belahkan kita.
Sesungguhnya, apabila wujudnya
perpaduan nasional, maka barulah terjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, dan
seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu,
demokratik, adil, liberal, dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan.
Pendeknya, jelas sekali prinsip ini merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai
kaum di Malaysia ini, demi untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan
perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara Malaysia itu
sendiri.
Cara yang ketiga jangan membangkitkan isu sensitif kaum lain. Malaysia adalah Negara
yang berdaulat dan mempunyai masyarakat yang majmuk. Jadi sebagai masyarakat
yang harmoni, tidak salah jika menghormati antara satu sama lain. Jangan
sesekali kita membangkitkan isu sensitif sesuatu kaum. Sebagai contoh, masayarakat
India tidak suka dipanggil keling
ataupun paria. Perkara tersebut akan
membangkitkan kemarahan mereka. Paria
merujuk kepada kasta terbawah dalam masyarakat India.
Isu-isu perkauman bermaksud isu-isu
yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi
agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan
buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya.
Dalam konteks Malaysia, isu-isu
sensitif pula membawa erti isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif
dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan Melayu, status Bumiputera,
kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem kuota dan
perkara-perkara stereotype.
Isu-isu ini tidak boleh dibahaskan,
didebatkan atau dibincangkan secara terbuka kerana ia akan membawa kepada api
permusuhan hasil daripada perasaan kurang senang dan tidak berpuas hati.
Isu-isu sensitif ibarat api dalam sekam yang menyala dalam diam-diam hingga
boleh membawa kepada kebakaran. Ini juga adalah salah satu sebab yang bakal
membawa kepada insiden konflik atau pergaduhan antara kaum. Isu-isu perkauman
dan isu-isu sensitif juga melibatkan perlakuan memperlekehkan dan
merendah-rendahkan kaum lain serta mempertikaikan hak orang lain. Termasuk juga
dalam ruang lingkup tafsiran isu perkauman dan isu sensitif ialah ucapan,
perbuatan, perkataan, penerbitan atau sebarang cara yang boleh ditafsirkan
sebagai kecenderungan menghasut (Akta Hasutan 1948).
Akta Hasutan telah menggariskan
perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini. Kecenderungan
menghasut mencakupi perlakuan ataupun kecenderungan melakukan sesuatu yang
membawa kebencian, penghinaan atau ketidaksetiaan kepada Raja atau kerajaan,
membangkitkan perasaan rakyat untuk mendapatkan perubahan kerajaan yang
memerintah dengan cara yang tidak sah, menimbulkan perasaan tidak puas hati di
kalangan rakyat, menyebarluaskan perasaan dan niat jahat serta konflik antara
kaum, mempersoalkan dalam apa jua bentuk atau sebarang perkara berkaitan
Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan (Akta Hasutan 1948).
Isu-isu perkauman dan isu-isu sensitif
boleh menggugat perpaduan dan kesepakatan antara kaum, mewujudkan huru-hara dan
ancaman ketenteraman awam, mencetuskan konflik dan perselisihan kaum dan
konflik antara agama, mewujudkan suasana prejudis, prasangka, dan hubungan
tidak baik antara kaum, menghilangkan semangat toleransi, menimbulkan suasana
tidak aman serta mengurangkan persefahaman bangsa berbilang kaum. Kesemua
elemen-elemen negatif ini akan mengganggu-gugat keharmonian hubungan antara
kaum sehingga menjejaskan perpaduan, menghilangkan kesedaran tentang
kepentingan hubungan antara kaum, merencatkan keselesaan rakyat pelbagai kaum
agar dapat hidup dengan harmoni dan mengusutkan hubungan interaksi antara agama
dan budaya.
Contoh yang ketara ialah ketika kempen
Pilihanraya Umum 1969.
Semasa kempen tersebut, parti-parti
politik pembangkang yang bertanding telah memainkan isu-isu yang sensitif
seperti kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu, soal bahasa dan kerakyatan
untuk memancing undi daripada orang ramai. Ini telah menimbulkan pelbagai rasa
tidak puas hati di kalangan orang-orang Melayu. Insiden ini disusuli dengan
perarakan sempena kejayaan pembangkang (DAP dan GERAKAN) yang memenangi kerusi yang
agak banyak dan berjaya menafikan majoriti dua per tiga Parti Perikatan.
Orang-orang Melayu pula telah mengadakan perhimpunan susulan. Keadaan menjadi
tidak terkawal dan akhirnya tercetuslah peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Bukan itu sahaja, parti tersebut membangkitkan
kemarahan orang melayu dengan membawa penyau sebagai lambang untuk mengusir
orang melayu keluar dari Tanah Melayu. Bagi orang melayu penyapu merupakan
tanda sial bagi mereka. Jadi perkara ini juga mendorong menaikkan kemarahan
orang melayu ketika itu.
Cara yang keempat, rakyat haruslah bergaul dan memupuk
persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah
menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Persis
kata mutiara, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka digalakkan
berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan membawa anak-anak
mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran. Dengan cara itu, ibu bapa dapat
menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan
masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis kaum dan etnik. Satu lagi
cara yang dapat diambil oleh ibu bapa ialah bergaul dengan anak-anak dalam
pelbagai bahasa, misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa
ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat
berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya,
nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi
muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang
dengan sempurna.
Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan
semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah
yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam
konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam
melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian Sains, persembahan maklumat,
dan sambutan-sambutan dalam sekolah. Guru-guru juga haruslah membahagikan
kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi
dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama kaum sahaja.
Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh
mencetuskan isu-isu sensitif semasa mangajar, misalnya dengan
mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek
kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama “bagai aur dengan
tebing” demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Di samping itu, pelajar-pelajar
perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti
perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan
bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar
lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dasar tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2013. Langkah bijak tersebut
diharapkan dapat menyedari anak-anak bangsa tentang kesan akibat kurangnya
perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Antaranya, dasar pecah dan perintah
yang dilaksanakan semasa penjajahan British telah menyukarkan usaha
menyatupadukan kaum menjelang kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kita
tentulah tidak mengharapkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang dan menggugat kestabilan
tanah air. Oleh itu, pelajar perlu mengenali sejarah tanah air agar dapat
menyemai semangat perpaduan dalam diri individu. Ahli falsafah terkemuka, iaitu
George Santayana juga menyatakan bahawa “sesiapa yang melupakan sejarah pasti
akan mengulanginya”.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari
sebarang tindakan yang dapat mencetuskan provokasi kaum. Hal ini adalah
kerana tindakan-tindakan yang dapat membangkitkan isu perkauman dapat
mengakibatkan pertelingkahan antara kaum, seterusnya menjejaskan keamanan
negara. Misalnya, Wee Meng Chee ataupun lebih dikenali sebagai Namewee, iaitu
seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan, telah
menimbulkan api kemarahan rakyat Malaysia dengan karyanya yang berjudul
“Negarakuku”. Lagu “rap” yang diubahsuai daripada lagu Negaraku berbaur
unsur-unsur yang menghina Perlembagaan Negara dan dasar-dasar pentadbiran
negara. Sekiranya banyak rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian, ke manakah
akan perginya perpaduan negara dan maruah negara? Sesungguhnya, walaupun kita
diberikan kebebasan bersuara, kita janganlah mengambil kesempatan tersebut
untuk mencetuskan isu-isu sensitif yang dapat menghancurkan keharmonian dan
kedaulatan negara.
Seterusnya, masyarakat setempat juga memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan
kaum di negara ini. Mereka sewajarnya menganjurkan pelbagai aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan
Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Melalui
aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan Program Rukun Tetangga, selain
daripada menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, rakyat juga berpeluang
berkomunikasi dan menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga yang berlainan
bangsa. Bak kata pepatah, “serampang dua mata”. Smabutan-sambutan khas seperti
Hari Keluarga dan Kempen Bulan Kemerdekaan dalam pelbagai peringkat pula dapat
membuka mata rakyat jelata tentang adat resam dan budaya kaum lain. Program
Hari Keluarga misalnya, menawarkan rencaman jenis permainan dan aktiviti
bersuka-ria yang memerlukan perancangan teliti dan kerjasama yang erat antara
ahli keluarga ataupun jiran tetangga. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak
ketinggalan dalam memainkan peranan yang penting untuk melahirkan permuafakatan
dalam kalangan masyarakat negara.
Kerajaan
pula harus memainkan tugas penting untuk menggerakkan rakyat ke arah perpaduan
yang jitu. Sebagai
jentera pentadbiran negara, kerjaan perlulah berusaha menerapkan gagasan Satu
Malaysia dalam kalangan rakyat. Namun, apakah gagasan Satu Malaysia sebenarnya?
Gagasan Satu Malaysia yang diwara-warakan oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu
Datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan mewujudkan sebuah negara bangsa yang
merangkumi persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam kalangan warga Malaysia.
Demi merealisasikan gagasan tersebut, kerajaan haruslah menganjurkan pelbagai
kempen untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya
ialah pameran kebudayaan dan warisan masyarakat Malaysia. Langkah ini dapat
menyemai persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum kerana mereka dapat
mengenali dan menghayati budaya kaum lain dengan lebih lanjut. Kempen “Cintai
Bahasa Kita” perlulah digiatkan dengan lebih cergas lagi untuk memartabatkan
penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Hal ini adalah kerana bahasa
kebangsaan merupakan wahana penting yang dapat memudahkan komunikasi antara
rakyat. Kerajaan turut telah mengambil langkah menganjurkan Program Integrasi
Nasional dalam kalangan pelajar sekolah. Program tersebut sebenarnya bertujuan
untuk menerapkan semangat bersatu-padu dalam diri bakal peneraju negara.
Tuntasnya, usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan perlu dimanfaatkan
oleh rakyat dan bukannya “seperti kera mendapat bunga” agar perpaduan dan
integrasi nasional dapat diwujudkan.
Salah satu langkah untuk mengekalkan
keharmonian negara dalam menyokong aspirasi 1 Malaysia ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah
wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara
kaum. Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai
kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang
permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling
mengenai dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar
dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya, kepercayaan dan agama kaum
lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat
integrasi nasional.
Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu
mengekalkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat merealisasikan
perpaduan nasional. Hal ini demikian, kerana aktiviti PLKN dilakukan secara
berkumpulan dan segala aktiviti yang dilaksanakan memerlukan kerjasama antara
semua peserta. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di
bawah satu bumbung. Mereka akan menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi
dan bergaul mesra. Mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk
Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan
kekitaan. Dengan ini, tembok pemisah antara kaum dapat diruntuhkan disamping
mengekalkan keharmonian negara.
REFLEKSI.
Pada hemat saya, sudah tentu rakyat
Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-51,
iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan”. Jika slogan tersebut dibaca dengan teliti,
slogan tersebut sebenarnya membawa mesej bahawa masyarakat yang hidup
bersatu-padu dapat menjana kejayaan dan kecemerlangan negara. Sebagai pembuka
bicara, kita sudah sedia maklum bahawa perpaduan dan keharmonian merupakan
elemen yang sangat penting dalam mengekalkan kesejahteraan dalam masyarakat
Malaysia yang berbilang kaum ini. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan
kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam
sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan kaum
di negara ini?
Perpaduan rakyat Malaysia amat penting
dalam menjadikan negara Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Perpaduan
masyarakat Malaysia penting bagi mencapai hasrat Wawasan 2020. Bekas Perdana
Menteri Malaysia kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah mengemukakan Wawasan
2020 dalam persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada tahun 1991. Dalam
ucapannya, beliau mengemukakan perpaduan rakyat Malaysia sebagai cabaran
pertama untuk membentuk sebuah negara yang utuh. Perpaduan hanya tercapai jika
rakyat kita yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama mempunyai perasaan
kekitaan sebagai warga Malaysia. Tanpa perpaduan kaum, kita tidak dapat membawa
negara kita ke tahap kemajuan yang optimum. Oleh itu, Wawasan 2020 akan
tercapai dengan adanya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Perpaduan negara merujuk kepada satu
bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama,
budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang
lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini.
Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang
bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia,
penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu
melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.
Meninjau kepada Penyata Razak dan
Laporan Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan
yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang
sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu
kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan
kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa
pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan
kemerdekaan, dan hari patriotik.
Dalam situasi sekolah, memupuk
semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini
dapat membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi
sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus
menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan
budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat
perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan
moral para pelajar.
Penubuhan sekolah wawasan yang
menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SK, SJK (C), dan SJK(T)
dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan
segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin, dan perpustakaan secara
bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila
mereka bersukan, makan di kantin, dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah.
Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat
awal usia pelajar lagi.
Perpaduan boleh diterapkan melalui
aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan,
kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Di
luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai
kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan beruniform. Jelaslah bahawa
usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh
setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar.
Sebagai intihanya, “bertepuk sebelah
tangan tidak akan berbunyi”. Usaha-usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum di
negara ini memerlukan sinergi dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi oleh oleh
semua pihak, “seperti isi dengan kuku”. Janganlah mengizinkan sejarah hitam
akibat kurangnya persefahaman dalam kalangan masyarakat seperti peristiwa 13
Mei 1969 berulang di negara ini. Bak kata mutiara, “bersatu teguh, bercerai
roboh”. Oleh itu, marilah kita bergabung idea dan tenaga yang dihiaskan dengan
sikap toleransi dan persefahaman yang kukuh demi mewujudkan integrasi nasional.
Mulakanlah inisiatif-inisiatif tersebut ke arah Wawasan 2020 kerana “perjalanan
seribu batu bermula dengan langkah pertama”. Majulah bangsa demi negara!
1. Buku Perintah-Perintah Am dan
Arahan Pentadbiran (Hingga 10 hb. Mei 1999) oleh Internatinal Law Book Services
1999.
2. Nota Rukan, Kursus Induksi Untuk
Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Malaysia, INTAN, Kuala Lumpur, 1991.
3. Dr. Mohd. Rais Abdul Karim,
Malaysia Kita, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Percetakan Nasional (M)
Bhd., Kuala Lumpur , 1991.
4. Nota Rujukan, Kursus Induksi Untuk
Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Malaysia, INTAN, Kuala Lumpur, 1991.
5. Dr. Mohd. Rais Abdul Karim,
Malaysia Kita, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Percetakan Nasional (M)
Bhd., Kuala Lumpur , 1991.
6. Lembaga Pendidikan Undang-Undang
Perintah- Peintah Am & Arahan Pentadbiran, International Law Books
Services, Kuala Lumpur, 1993.
7. Penasihat Undang-Undang, Pekeliling
Kemajuan Pentadbiran Awam, MDC Penerbit Pencetak Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1995.
Thank You ;)
ReplyDeleteJutaan terima kasih kerana berkongsi maklumat di sini. Isi-isi pentingnya sungguh menarik. Saya berharap tuan tidak kisah sekiranya saya ambil isi-2 untuk membuat kerja kursus pt3! Terima kasih lagi sekali !
ReplyDelete